fbpx Skip to main content

“Boleh tak saya tak nak jumpa doktor? Nak berubat kat rumah je. Susahlah nak gerak ke klinik ni…”

Boleh, siapa kata tak boleh?

Seperti mana yang dibincangkan dalam artikel punca sakit lutut kami sebelum ni, memang ada kaedah rawatan yang boleh buat sendiri dan ada juga yang perlu dapatkan nasihat dan konsultasi doktor.

Sebab itulah pentingnya untuk kenalpasti punca sakit lutut anda terlebih dahulu.

Anda boleh baca artikel ini untuk maklumat lanjut : 11 Punca Sakit Lutut, Rawat Cepat Sebelum Jadi Lebih Kronik & Makin Stress!

Dalam apa jua kaedah rawatan, ia bergantung pada tahap sakit tu sendiri.

Kalau sakit tu jenis ringan, maka ringanlah kaedah rawatannya. Begitulah seterusnya.

Jadi, mari kita mulakan dengan kaedah rawatan yang ringan dulu dimana anda sendiri boleh lakukannya dirumah.

1. Cara hilangkan sakit lutut dengan kaedah tradisional

1.1 RICE (rest, ice, compression, elevation)

Kaedah rawatan ini sangat sinonim dengan kecederaan atau sakit sendi yang bersifat akut (acute pain). Rawatan awal ini  perlu dilakukan untuk melegakan sakit lutut sementara mengenalpasti punca sakit sendi yang sebenar dan kaedah rawatan selanjutnya.

Akronim RICE terdiri daripada ;

  • Rest
    Anda perlu rehatkan kaki daripada segala aktiviti untuk mengurangkan pergerakan. Ini bagi mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan punca sakit lutut tu makin melarat.
  • Ice
    Anda digalakkan untuk tuap ais pada 48-72 jam pertama anda alami sakit lutut atau sakit sendi. Letakkan pek ais selama 15-20 minit pada bahagian sendi yang sakit, 3-4 kali sehari. Kaedah ini berkesan untuk kurangkan bengkak dan rasa sakit.
  • Compression
    Balut dengan menggunakan elastic bandage pada bahagian sendi atau lutut yang sakit. Kaedah ini dapat mengurangkan bengkak dengan tekanan pada balutan tersebut tapi pastikan jangan terlalu ketat.
  • Elevation
    Kaki dimana lutut anda sakit tu boleh ditinggikan dengan menggunakan bantal untuk bagi lutut anda rehat dan kurangkan tekanan pada sendi yang sakit tu.

 

1.2 Fisioterapi

Meskipun anda disarankan untuk kurangkan pergerakan pada sendi atau lutut yang sakit, tapi rehat terlalu lama juga tidak bagus. Ini kerana ia akan melemahkan otot anda. Oleh itu, dapatkan nasihat pakar berkenaan aktiviti yang selamat boleh dilakukan. Atau anda juga boleh dapatkan khidmat fisioterapi.

 

1.3 Bersenam

Anda disarankan untuk lakukan aktiviti ringan bagi menguatkan otot yang menyokong pergerakan lutut dan sendi-sendi.

Bagi mereka yang alami berat badan berlebihan, lakukan aktiviti sukan ringan untuk mengurangkan berat badan. Ingat, berat badan yang berlebihan boleh memberi tekanan yang lebih pada sendi lutut anda.

Antara aktiviti yang boleh dicadangkan adalah ;

  • Tai chi
  • Berjalan
  • Aktiviti aerobik dalam air

 

1.4 Gunakan alatan sokongan

Selain kurangkan berat badan untuk kurangkan tekanan pada sendi lutut, anda juga boleh gunakan tongkat untuk menyokong anda ketika bergerak serta kurangkan bebanan ketika bergerak.

 

2. Kaedah rawatan medikal

Jika sakit sendi atau sakit lutut yang anda alami makin melarat, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk kenalpasti punca sakit lutut dimana kaedah rawatannya lebih tepat.

 

2.1 Ubat tahan sakit dan anti radang

Ubat tahan sakit akan diberikan untuk kurangkan rasa sakit.

Dalam hal seperti rheumatoid arthritis dan gout yang menjadi punca sakit lutut, terdapat ubat khas yang perlu diambil untuk mengubati penyakit tersebut.

 

2.2 Suntikan dalam sendi lutut

  • Suntikan steroid
    Kaedah ini dapat hilangkan rasa sakit lutut yang boleh bertahan selama beberapa bulan. Pesakit mungkin perlu dapatkan suntikan lagi sekali apabila rasa sakit lutut datang semula.
  • PRP (Platelet-rich plasma)
    PRP mengandungi growth factor yang boleh mengurangkan keradangan dan mempercepatkan proses kesembuhan.
  • Hyaluronic gel
    Gel ini adalah cecair likat yang hampir sama fungsi dengan cecair asal pada sendi kita yang berfungsi melancarkan pergerakan sendi seterusnya mengurangkan pergeseran yang menyebabkan rasa sakit lutut.

 

3. Pembedahan

3.1 Arthroscopy

Pembedahan arthroscopy digunakan dalam kecedaraan yang tidak memerlukan apa-apa penggantian.

Kamera optik fiber dimasukkan melalui torehan kecil yang dibuat pada sendi lutut. Kaedah ini diguna dalam situasi seperti untuk untuk baiki ligamen yang koyak atau untuk keluarkan serpihan meniscal yang pecah.

 

4.2 Penggantian sendi lutut separa atau penuh

Pakar bedah akan menggantikan bahagian lutut yang rosak dengan bahagian plastik dan logam. Gantian separa atau penuh bergantung pada tahap kerosakan bahagian lutut yang terlibat.

 

Seperti yang diberitahu pada awal artikel ini, sakit lutut jenis apa sekali pun, jangan berlengah. Amalkan kaedah rawatan R.I.C.E dan dalam masa yang sama jumpa doktor untuk kenalpasti punca sakit lutut yang sebenar. Barulah boleh tahu rawatan yang seterusnya.

Untuk sakit lutut, anda boleh berhubung dengan barisan doktor-doktor kami yang berdekatan dengan lokasi anda. Untuk berhubung dengan doktor kami, sila KLIK DISINI.