fbpx Skip to main content

Homosistin adalah salah satu dari asid amino dalam darah.  Ia merupakan produk dari proses metilasi yang berlaku di dalam sel tubuh. Untuk memastikan proses metilasi berlaku secara ideal, Vitamin B dan asid folik diperlukan dalam kadar yang mencukupi.

Bacaan normal bagi homosistin adalah 0.54-2.3 mg/L atau 4-17 mcmol/L .Peningkatan pada kadar homosistin memberi tanda bahawa proses metilasi tidak berlaku dengan optimum. Kadar homosistin yang tinggi boleh mengakibatkan pelbagai penyakit antaranya serangan jantung, stroke dan darah beku.

 

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan kadar homosistin boleh menjadi tinggi pada sesetengah orang? Kadar yang tinggi bagi homosistin mungkin disebabkan oleh:

  • Kekurangan asid folik, vitamin B6 atau vitamin B12 dalam diet.
  • Keadaan atau penyakit lain seperti homosistinuria, penyakit buah pinggang, masalah kelenjar tiroid,   penyakit Alzheimer atau sesetengah kanser.
  • Ketagihan alkohol.
  • Jantina. Kadar homosistin secara normalnya lebih tinggi bagi lelaki berbanding perempuan.
  • Peningkatan usia.

Sebaliknya,kadar yang rendah mungkin disebabkan oleh sesetengah ubat-ubatan atau vitamin seperti asid folik harian dan vitamin B. Walaubagaimanapun kadar homosistin yang rendah jarang berlaku.

 

Jadi, untuk mendapatkan kadar homosistin yang baik, dan proses metilasi yang optimum,kita harus meningkatkan pengambilan vitamin B. Untungnya, ada banyak makanan yang mengandungi vitamin B. Antara makanan kaya vitamin B yang mampu dan mudah didapati :

  • Telur
  • Ayam dan daging
  • Susu
  • Sayuran hijau
  • Kekacang
Picture source: drweil.com

Vitamin B terdiri daripada 8 jenis yaitu :

  1. B1 (tiamin)
  2. B2 (riboflavin)
  3. B3 (niacin)
  4. B5 (panthotenik asid)
  5. B6 (piridoksin)
  6. B7 (biotin)
  7. B9 (asid folik)
  8. B12 (kobalamin)

Setiap dari vitamin-vitamin B ini memainkan peranan tersenderi setiap satunya kepada kesihatan badan manusia baik perempuan mahupun lelaki.

 

Namun, sekiranya kadar homosistin masih tinggi walaupun sudah mengambil vitamin B yang mencukupi, berbincanglah dengan doktor anda untuk supplemen vitamin B atau mencari punca lain tingginya homosistin.

 

Kesimpulannya, homosistin adalah sesuatu yang dihasilkan oleh badan,tetapi sering dipandang enteng. Ambillah vitamin B dan asid folik dengan mencukupi untuk memastikan proses metilasi berjalan lancar, dan penghasilan homosistin yang tidak berlebihan.

Written by Dr Khalilah Ahmad Zaki